Sunday, 29 September 2013

Saluran Susu Tersumbat Dan Radang Payudara (Mastitis)

Saluran Susu Tersumbat Dan Radang Payudara (Mastitis)

Kadang-kadang susu boleh tersumbat pada sebahagian payudara. Inilah yang dikatakan saluran susu tersumbat.

- Jika susu yang tersumbat ini tidak dikeluarkan pada bahagian payudara tersebut, ia akan menyebabkan keradangan (inflammation) tisu payudara atau radang payudara tanpa jangkitan (non-infective mastitis). Pada peringkat awal tiada jangkitan bakteria berlaku pada payudara. Apabila payudara dijangkiti bakteria ia menjadi radang payudara dengan jangkitan (infective mastitis).

- Saluran susu tersumbat dan radang payudara boleh disebabkan oleh :

- Penyusuan yang tidak kerap Mungkin disebabkan oleh bayi tidak kerap terjaga dari tidur, terlepas pandang tanda-tanda bayi mahu menyusuatau ibu sangat sibuk.

- Susu tidak dikeluarkan dengan sebaiknya dari sebahagian payudara

- Tekanan pada sebahagian payudara disebabkan oleh pakaian yang terlalu ketat, tidur meniarap dengan menindih payudara, tekanan oleh jari ibu pada payudara atau kecederaan pada payudara.


Ibu yang mengalami saluran susu tersumbat mungkin akan memberitahu anda yang beliau merasa adanya ketulan (lump) pada payudara, kulit kelihatan merah dan rasa sakit pada ketulan tersebut. Ibu selalunya rasa sihat dan tiada demam


Ibu yang mengalami radang payudara akan mengadu beberapa atau juga kesemua gejala-gejala berikut :--

- Sakit dan kemerahan pada kawasan tersebut

- Demam dan kesejukan

- Letih, rasa loya atau sakit kepala


Gejala radang payudara tanpa jangkitan dan radang dengan jangkitan adalah sama.

Pengendalian Saluran Susu Tersumbat Atau Radang Payu Dara

Penilaian :

Aspek yang penting dalam rawatan ialah memperbaiki pengaliran susu dari bahagian payudara yang terlibat
cari punca yang menyebabkan pengaliran susu yang tidak lancar dan perbetulkannya.

- Perhatikan penyusuan ibu. Lihat samada jari ibu menekan pada bahagian tertentu payudara yang menyekat pengaliran susu.

- Jika payudara terlalu besar, cadangkan pada ibu untuk mengangkat atau mengampu payudaranya semasa menyusu agar pengaliran susu lancar di bahagian bawah payudara.

- Nilai kekerapan penyusuan

- Periksa jika ada tekanan disebabkan pakaian yang ketat terutama pada waktu malam atau kecederaan pada payudara.


Rawatan

 Terangkan kepada ibu bahawa ibu MESTI Mengeluarkan susu dengan lebih kerap

o Cara yang terbaik ialah dengan meneruskan penyusuan dengan kerap

 Pastikan bayi melekap dengan betul

 memberi bayi menyusu pada payudara yang terlibat (jika tidak terlalu sakit) terlebih dahulu supaya dapat membantu melancarkan pengaliran susu dari saluran yang tersumbat

Bantu pengaliran susu ibu dengan :

- Melakukan urutan lembut di bahagian yang tersumbat ke arah puting sebelum dan sewaktu bayi menyusu

- Letakkan tuala suam dan lembap sebelum menyusu

 Periksa pakaian ibu terutama coli dan pastikan tidak ketat


 Ibu perlu berehat bersama bayi supaya bayi dapat menyusu dengan kerap.

 Ibu juga perlu minum air dengan mencukupi.

 Ibu yang bekerja digalakkan mengambil cuti sakit jika boleh.

 Rehatkan ibu, bukan payudara

o Lakukan pemerahan susu ibu jika bayi tidak mahu menyusu dengan kerap. Jika susu tidak dikeluarkan ketulan akan menjadi lebih sakit dan boleh menyebabkan ia bernanah


 Rawatan ubatan

- Ubat anti keradangan untuk mengurangkan gejala radang payudara contohnya Ibuprofen jika ada atau ubat analgesik ringan contohnya paracetamol.

- Antibiotik diberikan jika :

- Ibu mengalami demam selama 24 jam atau lebih

- Terdapatnya kemungkinan jangkitan contohnya pada puting yang merekah

- Gejala pada ibu tidak berkurangan dalam masa 24 jam walaupun pengaliran susu ibu telah berjalan lancar

- Keadaan ibu semakin teruk.


1 comments: